‘Hasrat Tak Kesampaian’ – Luah Faiz Subri

‘Hasrat Tak Kesampaian’ – Luah Faiz Subri  | Zurich: Atas faktor cuaca sejuk, finalis anugerah Puskas 2016, beliau mengambil keputusan tidak memakai baju Melayu pada majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland awal pagi esok.

Menurut pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu, dia akan memakai pakaian formal baju sut yang lebih selesa dengan cuaca sejuk sekitar -5 selsius.

“Keadaan di sini memang sejuk, memang saya akan pakai baju kot. Bukan pakai baju Melayu tak kena (sesuai) tapi terlalu sejuk,” katanya ketika ditemui Arena Metro di hotel penginapan di sini, hari ini.

faiz subri

‘Hasrat Tak Kesampaian’ – Luah Faiz Subri

Sebelum ini, Faiz Subri berhasrat untuk memakai set persalinan lengkap baju Melayu tradisional yang ditaja oleh beberapa pihak pada majlis anugerah bola sepak berprestij itu di mana bakal ditonton oleh peminat bola sepak seluruh dunia.

Penganjur Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini sudah memberi kebenaran kepada Faiz untuk memakai baju tradisional pada majlis itu selepas mendapat permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Tak apa kalau saya tak dapat pakai baju Melayu di sini, Insya Allah kalau menang saya akan pakai di Malaysia nanti,” jelas Faiz Subri.

Penyerang Pulau Pinang itu melakar sejarah tersendiri selepas jaringannya ketika menewaskan Pahang 3-0 dalam aksi Liga Super, 16 Februari tahun lalu menarik perhatian seluruh dunia apabila berada dalam senarai akhir tiga gol terbaik 2016 untuk merebut anugerah Puskas.

Sepakan percuma yang dikatakan melanggar ‘hukum fizik’ apabila melencong menerjah ke gawang dilihat mempunyai peluang untuk merangkul anugerah berkenaan meskipun dicabar pemain Brazil Marlone dan Daniuska Rodriguez (Venezuela).

Andai menang anugerah yang diperkenalkan pada 2009 itu, Faiz Subri berhasrat untuk mengadakan kenduri kesyukuran.

“Setakat ini saya tak fikir nazar apa lagi, mungkin buat kenduri kesyukuran,” katanya. – myMetro.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih