Ajal di Sungai Belakang Rumah

Ajal di Sungai Belakang Rumah. REMAJA lelaki yang hilang ketika mandi di Sungai Padas, Tenom bersama kakak dan dua sepupunya, ditemui lemas tengah hari ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mohd Zainal Sinsian berkata mayat Mohammad Nazim Idris, 15, ditemui pada 1.50 tengah hari, lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ajal di Sungai Belakang Rumah

Mohd Zainal berkata, mangsa ditemui anggota bomba yang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas remaja terbabit dikhuatiri lemas sewaktu mandi dengan tiga lagi ahli keluarga pada 10.30 pagi hari ini.

“Sungai ini terletak beberapa meter di belakang rumah mangsa di Kampung Tenom Lama.

“Kami diberitahu, ketika mereka sedang mandi, mangsa secara tiba-tiba dilihat terkapai-kapai dan hampir tenggelam.

“Mangsa cuba diselamatkan kakaknya tetapi gagal. Kakak mangsa terus memaklumkan kejadian itu kepada keluarga yang berada di rumah sebelum mereka menghubungi talian kecemasan 999,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.40 pagi dan bergegas ke lokasi terbabit bersama 10 anggota, satu jentera serta sebuah bot dari BBP Tenom.

Menurutnya, selain itu, pihaknya menerima bantuan enam penyelam daripada BBP Kuala Penyu bagi melaksanakan SAR. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih