Anwar Tak Dendam Dengan Najib

Anwar Tak Dendam Dengan Najib. KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tidak mempunyai sebarang dendam terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau dipenjarakan sebelum ini.

Anwar Tak Dendam Dengan Najib

Beliau sebaliknya mahu supaya Najib menjawab segala dakwaan yang dilemparkan terhadapnya berhubung isu salah guna kuasa dan rasuah dalam kepimpinannya.

“Saya tidak menyimpan sebarang perasaan benci peribadi, saya tidak mahu isu Anwar dipenjarakan dijadikan isu yang dibuat untuk menentangnya.

“Tetapi isu ketidakadilan terhadap rakyat, jenayah yang dilakukan terhadap rakyat, gejala rasuah yang menjadi budaya di negara ini, dia (Najib) harus jawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas sebaik menerima pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di kediaman rasminya di Segambut, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah isterinya yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta ahli keluarga terdekat.

Anwar turut mengulangi pendiriannya beberapa tahun lalu bahawa hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya bermotifkan politik dengan tujuan menamatkan karier politiknya.

Anwar dihukum penjara lima tahun pada 2015 selepas didapati bersalah kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, sebaik Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) minggu lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipilih sebagai Perdana Menteri bersetuju memohon pengampunan diraja bagi membebaskan Anwar.

Pada sidang media sama, Anwar turut berterima kasih kepada bekas bosnya itu kerana menyegerakan proses pengampunan diraja, sekali gus memberi peluang untuk beliau kembali aktif dalam politik.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih