“Mereka ‘Pergi’ Terlalu Awal…”

“Mereka ‘Pergi’ Terlalu Awal…”. “SAYA masih terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba, malah sehingga kini saya seolah-olah tidak percaya mak, ayah dan adik sudah tiada,” kata Muhamad Badrul Hafiz Mohd Jamil. Muhamad Badrul Hafiz, 22, adalah anak kepada pasangan Rohaida Sidak, 48, dan Mohd Jamil Utok, 46, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, Kampung Gajah, semalam.

“Mereka ‘Pergi’ Terlalu Awal…”

Kemalangan itu turut mengorbankan anak bongsu pasangan terbabit, Nor Syarina, 19, yang juga pelajar Tingkatan Enam Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah sekali gus menyebabkan Muhamad Badrul Hafiz yatim piatu dalam sekelip mata.

Menurut Muhamad Badrul Hafiz, ketika kejadian berlaku dia berada di tempat kerja di sebuah kilang di Kampung Gajah, manakala ibu bapa dan adiknya dalam perjalanan pulang dari Teluk Intan.

“Mungkin ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan Nor Syarina yang sedang menjalani peperiksaan.

“Kali terakhir saya jumpa mak pagi semalam sebelum ke tempat kerja dan ketika itu ayah sudah keluar menghantar adik (Nor Syarina) ke sekolah.

“Saya sempat bersalam dengan mak yang seperti biasa berpesan supaya berhati-hati dan tidak menunggang motosikal dengan laju,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah, hari ini.

Muhamad Badrul Hafiz berkata, dia yang ketika itu sedang duduk di tempat letak kenderaan selepas habis waktu kerja dimaklumkan rakannya mengenai kejadian yang menimpa ahli keluarganya.

“Saya yang mahukan kepastian segera ke lokasi kejadian dan apabila tiba luluh hati saya melihat kereta kami, namun mereka semua sudah dibawa ke hospital.

“Perasaan saya hancur mengenangkan tiga insan tersayang dalam hidup pergi serentak dan terlalu cepat mereka tinggalkan saya, namun saya reda kerana ini takdir,” katanya yang memaklumkan tiga ahli keluarganya berkelakuan seperti biasa serta tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Muhamad Badrul Hafiz berkata, hubungan mereka sekeluarga amat rapat dan arwah bapanya disifatkan seorang yang sentiasa berhati-hati di jalan raya serta tidak memandu laju.

“Adik (Nor Syarina) seorang yang lemah lembut dan periang ketika di rumah, namun pendiam di sekolah. Ke mana sahaja dia akan pergi bersama mak dan ayah, apabila cuti kami berempat akan keluar bersama.

“Kehilangan mereka meninggalkan kesan mendalam pada saya lebih-lebih lagi Ramadan semakin hampir, namun saya perlu kuat dengan sokongan ahli keluarga lain,” katanya sayu.

Semalam, NSTP melaporkan Perodua Myvi yang dinaiki tiga beranak itu dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian pada 5.20 petang.

Rohaida Sidak dan anaknya, Nor Syarina maut di lokasi kejadian manakala Mohd Jamil pula disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan (HTI) lima jam kemudian.

Jenazah tiga beranak terbabit dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Changkat Rambai, Kampung Gajah pada 11.30 pagi tadi. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih