Najib Tidak Puas Hati Polis Geledah Terlalu Lama

Najib Tidak Puas Hati Polis Geledah Terlalu Lama. BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis yang mengambil masa terlalu lama hampir 24 jam untuk melakukan penggeledahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, sejak malam tadi.

Najib Tidak Puas Hati Polis Geledah Terlalu Lama

Ini termasuk tindakan polis menggerudi sebuah peti besi lama milik keluarga itu yang dilakukan sejak jam 8.30 pagi tadi dan sehingga kini belum selesai menyebabkan keluarga Najib berasa terganggu apatah lagi hari pertama umat Islam menyambut Ramadan.

Sehingga jam 7 malam tadi, polis dikatakan masih berusaha menggerudi peti besi lama yang berada di bahagian tingkat satu kediaman itu.

Ketidakpuasan hati Najib disampaikan melalui peguam mewakilinya, Datuk Harpal Singh Grewal yang mengeluarkan satu kenyataan, hari ini.

Menurut Harpal, kunci peti besi berkenaan sudah hilang menyebabkan polis terpaksa menggerudi untuk mengenal pasti isi kandungannya.

“Sejak 8.30 pagi tadi, beberapa pegawai polis menggerudi peti besi berkenaan yang tidak pernah dibuka sejak 20 tahun lalu kerana kuncinya sudah lama hilang.

“Proses penggerudian yang berlarutan sehingga 5 petang menimbulkan gangguan yang menjejaskan ketenangan di kediaman keluarga Najib,” katanya.

Beliau berkata, tindakan polis melakukan pemeriksaan bermula malam tadi hingga ke hari ini turut menjejaskan ibadat puasa bekas Perdana Menteri serta ahli keluarga dan staf yang bertugas di situ.

“Hari ini adalah hari pertama berpuasa, kehadiran polis menimbulkan gangguan untuk keluarga itu bersahur dan berbuka puasa.

“Selain itu, kehadiran antara 50 hingga 60 anggota polis melakukan pemeriksaan menimbulkan tekanan perasaan selain mengganggu tidur Najib dan keluarganya,” katanya.

Katanya, kehadiran polis melakukan sekatan di laluan masuk ke kediaman Najib turut mengganggu kejiranan di situ yang terkesan dengan tindakan itu.

“Najib dan keluarganya bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis, namun tindakan penggeledahan memakan masa terlalu panjang menimbulkan gangguan kepada keluarganya.

“Sehingga kini, polis tidak menemui sebarang dokumen yang mereka cari, hanya merampas beberapa barangan yang kita yakin tidak membantu untuk siasatan mereka,” dakwanya.

Harpal turut mengesahkan sebuah lagi kediaman Najib di ibu negara diperiksa polis, namun tidak memberitahu lokasi sebenarnya.

“Polis tidak rampas apa-apa dokumen, cuma mereka ambil beberapa barangan peribadi antaranya pakaian, beg tangan dan barangan berbentuk hadiah, dalam dua hingga tiga kotak.

“Memang tiada tangkapan dan boleh dikatakan mereka (polis) tidak temui apa-apa bukti,” katanya. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih