Ugut dan ancam Yang-di-Pertua Negeri Sabah, Polis buru Musa Aman yang kini hilang dari radar |

Ugut dan ancam Yang-di-Pertua Negeri Sabah, Polis buru Musa Aman yang kini hilang dari radar | KOTA KINABALU: Polis meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk diambil keterangan berhubung laporan polis dibuat Yang-di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, baru-baru ini.

Ugut dan ancam Yang-di-Pertua Negeri Sabah, Polis buru Musa Aman yang kini hilang dari radar

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau berkata, setakat ini polis sudah merakamkan percakapan sembilan individu termasuk Juhar, sejurus beliau membuat laporan polis pada 14 Mei lalu.

“Polis giat menjalankan siasatan serta sudah merakamkan percakapan sembilan saksi dalam kes ini. Usaha sedang diambil untuk merakamkan percakapan Tan Sri Musa sendiri.

“Difahamkan beliau tidak berada di Kota Kinabalu ketika ini dan sebab itulah kita mencari jalan untuk mendapatkan beliau bagi merakamkan percakapannya dengan segera,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kuih-Muih Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan di Menara Tun Mustapha di sini, sebentar tadi.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.Mengulas lanjut, Ramli berkata, polis setakat ini tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap Musa dan yakin beliau akan memberikan kerjasama.

Katanya, keterangan Musa diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, media melaporkan Juhar membuat laporan polis minggu lalu, dipercayai ada kaitan dengan upacara angkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, baru-baru ini.

Pada 10 Mei lalu, Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri selepas BN bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memiliki 31 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, dua hari kemudian Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri apabila mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas enam ADUN BN menyokong beliau.

Susulan itu, pada 14 Mei lalu, pihak Istana Negeri menyerahkan surat pemberitahuan daripada Juhar bahawa Musa bukan lagi Ketua Menteri.

Pada 17 Mei lalu lalu, Musa memfailkan saman terhadap Juhar dan Mohd Shafie menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih